KUALA LUMPUR : Pelbagai cara dilakukan bagi meraikan Hari Malaysia yang disambut pada hari ini.

Begitu juga dengan dedikasi yang ditunjukkan oleh guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maxwell, Kuala Lumpur, apabila berjaya menyiapkan kain rentang bertemakan 'Merdeka Transformasi Dirgahayu Tanah Airku Menuju Alaf Baharu' sepanjang 40 meter.

Kesemua mereka yang terdiri daripada 91 guru dan 533 murid mula mewarnakan kain rentang tersebut seawal jam 8 pagi dan mengambil masa kira-kira empat jam sebelum ia dapat disiapkan sepenuhnya.

Menurut pengetuanya Norlaila Ismail, ini adalah sebahagian daripada usaha yang mampu dilakukan bagi menggambarkan rasa bangga dan semangat patriotisme warga SMK Maxwell dalam menyambut Hari Malaysia.



"Program Kibaran Kain Rentang Dirgahayu ini merupakan aktiviti yang julung-julung kali diadakan, melibatkan penggunaan kain sepanjang 40 meter dengan motifnya berlatarkan semua yang terkait dengan mercu tanda negara.

"Program ini juga untuk menaikan semangat kebangsaan dalam kalangan pelajar dan guru selain  merupakan sebahagian dalam aktivi Rimup bagi merapatkan hubungan pelbagai kaum di sekolah ini," katanya kepada Astro AWANI.



Jelasnya lagi, pelbagai aktiviti juga telah dijalankan bagi tujuan tersebut seperti Kuiz Kemerdekaan, Melukis Poster, Hiasan Kelas Bertema Kemerdekaan, Busana Merdeka dan banyak lagi, bagi merapatkan jurang perbezaan dalam kalangan pelajar pelbagai kaum di sekolah tersebut.

Program itu juga dimeriahkan lagi dengan persembahan daripada anak-anak Kelab Kebudayaan & Kesenian Mahligai Seni SMK Maxwell yang telah dibimbing oleh Hisnida Mohamed selaku guru penasihat kelab berkenaan.

Turut diadakan termasuklah persembahan sketsa perjuangan pejuang negara dalam usaha memupuk kerjasama dan perpaduan semua murid dan guru.